Tuesday, April 26, 2011

MARILAH KITA KASIHI IBU BAPA KITA …


Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan kasih dan sayang itu merupakan kurniaan Allah SWT kepada wanita yang bergelar “ibu”. Bermulanya suatu keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung, melahirkan, mengasuh dan membesarkan anak tidak dapat dibayangkan kecuali ibu. Oleh itu, penghormatan terhadap ibu perlu diutamakan berbanding hak kepada seorang bapa.



Gambar hiasan




Perkara ini berasaskan hadis sohih yang diriwayatkan oleh

Bukhari dan Muslim yang mafhumnya: “Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati? Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu kembali bertanya : Kemudian siapa? Nabi menjawab: Ibumu. Lelaki itu terus bertanya : Kemudian siapa? Nabi menjawab lagi : Ibumu. Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu”.



Kasihnya Ibu - Sharifah Aini


Begitulah kedudukan seorang ibu di hati Rasulullah. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Nabi Muhammad SAW meletakkannya sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW.

Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredaan Allah.


Islam menentang keras ummatnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan “ah!” atau “aargh” atau yang seumpanya. Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri. Allah SWT berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau di akhirat.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki.

(Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).


Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda SAW yang bermaksud:

Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendakNya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati”.

Dua kisah berikut cukup untuk mengingatkan kita supaya sentiasa menghormati, menyayangi dan melebihkan ibu. Ia patut dijadikan iktibar supaya tidak sekali-kali menderhakai ibu.

gambar hiasan


Pertama, kisah yang berlaku kepada ahli ibadat keturunan Bani Israel bernama Juraij. Beliau berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya. Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah SWT, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapakah bapanya yang sebenar.

Kedua, kisah Al-Qamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW juga perlu diinsafi kita supaya tidak menjadi anak derhaka. Hanya kerana anaknya melebihkan isteri daripada dirinya, ibu Al-qamah tidak mahu memaafkan anaknya hingga tertahan ketika sakratul maut. Rasulullah SAW kemudian menyatakan sekiranya si ibu tidak mahu memaafkan anaknya yang sedang nazak itu, maka anak itu akan dibakar hidup-hidup. Membayangkan kesengsaraan anaknya yang akan dibakar hidup-hidup, hati si ibu menjadi luluh dan cair. Seterusnya, memaafkan dosa dan kesalahan anaknya. Akhirnya, Al-qamah meninggal dunia dengan mendapat kemaafan ibunya dan mati dalam husnul-khatimah.


Setiap kita yang dinamakan “anak” hendaklah sewajarnya memahami tabiee kehidupan manusia iaitu ibu bapa, mereka akan tiba ke peringkat usia tua, tiada kekuatan, semakin lemah, memerlukan penjagaan dan mudah tersinggung. Inilah sebenarnya masa depan kita ialah “Hari Tua”. Kesedaran ini boleh dijadikan garis panduan untuk menjaga dan memberi layanan lebih mesra kepada ibu bapa seperti belaian kasih mereka kepada anak-anak ketika kecil. Islam amat menentang keras jika ibu bapa dijadikan sebagai mangsa maki-hamun. Dalam aspek ini, penghormatan tidak sahaja ditekankan kepada ibu bapa tetapi mereka yang lebih muda hendaklah menghormati golongan yang lebih tua.



Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seorang lelaki mengutuk ibu bapanya. Ramai orang berasa takjub bagaimana seorang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah SWT boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak.Lantas Baginda ditanya : Bagaimana seorang itu mengutuk ibu bapanya? Jawab baginda : Apabila orang itu memaki-maki ayah orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki-maki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya!”


Nabi Muhammad pernah bersabda bermaksud:

Sesiapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya, jika ketika pagi lagi sudah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka”.

gambar hiasan


Kedua Ibu bapa kita merupakan orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati kedua-duanya jelas termaktub dalam Al-Quran dan Hadis. Buatlah apa yang disuruh asalkan suruhan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang mungkar. Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik orang tua dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada ibu bapa hukumnya berdosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat kepada Allah SWT. Allah SWT tidak menerima ibadah orang yang menderhaka kepada ibu bapanya.


Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang maksudnya, keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah SWT turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah SWT turut memurkai kita.

Diriwayatkan, pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya.Baginda SAW marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja harta, malahan dalam dirinya sendiri ada hak ibu bapanya. Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah sangat-sangat kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburannya di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Insyallah, mereka akan menerima pahala itu.

gambar Hiasan


Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang maksudnya: Khabarkan berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah mengampuni mereka.Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.

Marilah kita merenung sepotong ayat al-Quran yang bererti:

“Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu ! kepadaKu tempat kembali”. (Surah Lukman Ayat 14).


Sesungguhnya binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak dapat berbakti kepada keduanya lalu perkara tersebut menjadi ujian kepada anak-anak tadi yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium Syurga Allah. Ingatlah firman Allah SWT yang ertinya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang diantara keduanya telah mencapai usia tua, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanya dengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah membelaku dengan penuh kasih saying semasa aku kecil.”

(Al-Isra’: 23-24).


Sebenarnya kita sangat-sangat tidak berdaya untuk membalas jasa ibu dan bapa walau pun kita merasa kaya, ada wang banyak, rumah besar, kereta besar, dan segala-galanya besar…. Hakikat ini perlulah kita insafi. Oleh sebab itu, untuk membalas jasa mereka, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat samaada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah atau ibu. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita.


Rebutlah peluang menjaga dan memelihara mereka khususnya semasa mereka telah lanjut usia. Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah di rumah kita disebabkan layanan yang kurang menarik terhadap mereka.

Akhir sekali kepada semua ibu dan ayah, semoga kasih sayang yang diberi akan mampu membawa anak ke syurga, kerana syurga adalah tempat idaman yang diidam-idamkan oleh seluruh mereka.

Go to fullsize image

Kepada anak pula, kasihlah ibu dan bapa tanpa berbelah bagi, kerana kasih sayang terhadap ibu dan bapa itu akan membawa anda ke syurga, Insya’allah.

Wallahua’lam.

000000000000

No comments:

Post a Comment